Cara 'Istimewa' Jimat Sumber Asas

Untuk membuat air satu mug (300ml), kebanyakan orang akan menggunakan 300ml air panas (100C) dan menunggu hingga air tersebut sejuk untuk diminum. Dalam situasi ni, ada dua (2) pembaziran iaitu pembaziran elektrik dan masa. Sekiranya anda menggunakan separuh air panas (100C) ditambah dengan separuh air suam (50C) atau air masak (30C), anda dapat terus meminum air tersebut tanpa melecurkan lidah dan tanpa menunggu sehingga air tersebut sejuk :-)

JAWI : 4 Alasan Ringkas Mengapa Tulisan Jawi Perlu Di'rasmi'kan Kembali Berbanding Tulisan Rumi


1. Dari segi konteks tulisan - agama, sesetengah agama adalah sinonim dengan tulisan bangsa tertentu, contohnya Islam - tulisan Jawi Arab, Kristian - tulisan Rumi dan lain - lain agama. Sekiranya Malaysia adalah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi, kenapa tidak jadikan tulisan Jawi Arab / Nusantara kepada tulisan rasmi negara Malaysia?

2. Dari alasan nombor 1, secara tidak langsung bahasa boleh mendekatkan seseorang kepada agama. Dari satu kaji selidik yang dijalankan (sumber : Kaji Selidik Tulisan Jawi) didapati bahawa

"Temubual responden secara tidak langsung dengan beberapa murid-murid yang tidak menguasaai tulisan jawi menyatakan ibu bapa mereka tidak menekankan aspek agama iaitu mengajar mengaji al-Quran pada anak-anak mereka di rumah kerana lebih mementingkan mata pelajaran lain."

"Bagi murid-murid yang berkebolehan dalam tulisan Jawi yang memberangsangkan dan menunjukkan prestasi yang cemerlang, secara amnya dari latar belakang ibubapa yang amat mementingkan pendidikan Islam terhadap anak-anak mereka. Kaji Selidik juga membuktikan bahawa taraf sosioekonomi keluarga dan pegangan hidup (aqidah) dalam pendidikan Islam amat mempengaruhi pencapaian akademik murid."

Hasil kajian yang dinyatakan di atas menunjukkan bahawa agama adalah berkait rapat dengan tulisan yang diketahui / dipelajari dan vice versa.

3. Tidak dapat dinafikan bahawa tulisan Jawi senang dikuasai, ejaannya berdasarkan sebutan mulut dan ejaannya juga tidak terikat kepada loghat - loghat sebutan bangsa tertentu. Contohnya sebutan 'bo-leh' juga boleh disebut sebagai 'bo-lih' dan 'bol-leh'. Berbanding tulisan Rumi, tulisan Jawi adalah berdasarkan sebutan mulut kepada perkataan, bukannya perkataan kepada sebutan mulut. Maka berdasarkan perkataan 'bo-leh' hanya boleh ditulis kepada 1 (satu) perkataan asli iaitu 'بوله'. Secara tidak langsung ini membantu menyelaraskan ejaan dan menaikkan taraf bahasa bangsa masing - masing.

4. Tulisan Jawi turut merupakan tulisan yang agak stabil dan konsisten. Apa yang saya maksudkan dengan konsisten ialah penggunaan ejaan Jawi tidak berubah sesuka hati berdasarkan zaman berbanding tulisan Rumi. Contohnya perkataan 'boleh' (bahan contoh yang sama dengan alasan nombor 3) dahulunya ditulis sebagai 'bolih' berbanding 'boleh'. Namun ejaan tulisan Jawinya tidak berubah dari masa dahulu sehingga sekarang.

PENDAPAT : Langkah - Langkah Moden Mengurangkan Kesesakan & Kemalangan Jalanraya

Beberapa pendekatan dan langkah - langkah yang dinyatakan di bawah hanyalah pendapat semata - mata berdasarkan kepada cetusan idea sendiri. Sama ada pendapat di bawah diterima akal dan relevan atau tidak terpulang kepada individu yang menilai.. Antara langkah - langkah terbaru yang boleh dipraktikkan ialah :

1. Wujudkan 1 badan pemantau yang bertugas di pintu masuk lebuhraya sebelum plaza tol. Badan pemantau ini akan memeriksa beberapa aspek keselamatan setiap kenderaan dan diri pemandu (untuk perjalanan melebihi 200(?)kilometer) SECARA RINGKAS seperti

a) jumlah masa tidur sebelum memandu (untuk memastikan pemandu tidak mengantuk dan berehat secukupnya)
b) pengambilan alkohol dalam masa terdekat (untuk memastikan pemandu memandu dalam keadaan rasional)
c) kali terakhir servis kereta (untuk menilai keadaan kenderaan)

Mana - mana pemandu yang tidak lulus pemeriksaan di atas TIDAK dibenarkan memasuki lebuhraya. Kekurangan daripada langkah di atas ialah agak memakan masa dan tidak menjamin kebenaran yang dinyatakan oleh pemandu (mungkin pemandu menipu)


2. Tempatkan 'checkpoint' polis (bukan checkpoint saman ekor) setiap 20km hingga 30km untuk memastikan pemandu memandu dengan sopan. (Ye la bila pemandu tengok polis, mesti tak berani bawak laju - laju). Dan jangan letak 'dummy' polis.


3. Kenalpasti pemandu/kenderaan yang melakukan banyak kesalahan jalanraya atau terdapat sejarah kesalahan jalanraya yang banyak seperti pernah disaman beberapa kali kerana memandu secara berbahaya, melebihi had laju dan lain - lain. Pemandu / kenderaan ini tidak dibenarkan menggunakan lebuhraya dan hanya dibenarkan menaiki kenderaan awam untuk ke tempat tujuan. Kos pengangkutan kenderaan awam ditanggung oleh kerajaan.

4. Pemandu yang ingin menuju ke tempat tujuan lebih daripada 200 kilometer hendaklah membuat 'certificate' yang menyatakan

a) keadaan dan akhlak pemandu
b) keadaan kenderaan

yang diperiksa oleh bengkel - bengkel dan ditandatangani sama ada oleh majikan atau wakil rakyat. 'Certificate' ini akan diserahkan di pintu masuk lebuhraya dan terpulang kepada pengurusan lebuhraya untuk meluluskan atau tidak penggunaan lebuh raya kepada pemandu.

JAWI : Sejarah Tulisan Jawi Di Nusantara

Tulisan Jawi Melayu merupakan salah satu daripada tinggalan identiti masyarakat Melayu di Asia Tenggara dan giat digunakan di negara - negara bermajoritikan kaum Melayu seperti Indonesia, Malaysia dan Filipina.Tulisan ini berasal dari tulisan Jawi Arab yang dimasukkan ke dalam sistem penulisan bahasa Melayu, namun terdapat beberapa elemen yang berbeza seperti huruf-huruf baru seperti huruf 'ca' (), 'nga' (ڠ), 'pa' (), 'ga' (ݢـ), 'va' (ۏ) dan 'nya' (ڽ) yang tiada di dalam tulisan Jawi masyarakat Arab, mungkin untuk disesuaikan dengan sebutan kata nama ataupun loghat di dalam bahasa Melayu serta ketiadaan tanda tashdid pada tulisan Jawi berbanding Arab.

Tulisan ini turut dianggap sebagai bukti kukuh kesan kedatangan Islam ke Tanah Melayu berdasarkan kepada penemuan 'Batu Bersurat' di Terengganu yang bertarikh 702 Hijrah atau 1303 Masihi (sebelum kedatangan Islam ke Asia Tenggara, masyarakat Melayu menggunakan tulisan 'Pallava Grantha' yang berasal dari India Selatan dan menyerupai tulisan Sanskrit).

Namun berdasarkan sumber lain, tulisan Jawi juga berkemungkinan berkembang sejak zaman Kerajaan Islam Pasai kemudian disebarkan ke Kerajaan Melaka (kemungkinan besar sebelum 1511), Kerajaan Johor dan juga Aceh pada abad ke-17. Penggunaan tulisan Jawi mula merosot beransur - ansur selepas penjajahan orang Eropah pada tahun 1511 (berpunca daripada kemasukan dan dominasi tulisan Rumi/Roman oleh penjajah Eropah).

Meskipun begitu, penggunaan tulisan Jawi masih diteruskan setelah penjajahan British di Tanah Melayu pada abad ke-17 di Negeri - Negeri Melayu Tidak Bersekutu/ Bersekutu sebagai perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan. Contohnya digunakan dalam perjanjian-perjanjian penting antara pihak-pihak di-Raja Melayu dengan pihak-pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris seperti Perjanjian Pangkor.

Dokumen Perjanjian Pangkor (sumber :akarbangsa.blogspot.com)

Selepas kemerdekaan pada tahun 1957, tulisan Jawi telah hilang kedudukannya sebagai tulisan rasmi dan digantikan dengan penggunaan tulisan Rumi sepenuhnya selepas perisytiharan Akta Bahasa kebangsaan 1963 (walaupun akta tersebut tidak melarang penggunaan tulisan Jawi). Akibat akta tersebut, penggunaan Jawi sedikit demi sedikit mula merosot hingga tahun 1894. Pada tahun 1985, Kementerian Pelajaran Malaysia menyedari kepentingan warisan ini telah mewajibkan pelajaran tulisan Jawi ini disekolah rendah agama Kini tulisan ini hanya digunakan di dalam urusan agama Islam dan adat istiadat Melayu yang kebanyakkannya di Johor, Kedah, Kelantan, Perlis, dan Terengganu.

Che Mad : Ada kemungkinan tulisan Jawi dipengaruhi oleh loghat dan bahasa Cina dari China sekiranya Batu Bersurat Terengganu merupakan tulisan Jawi terawal. Ini adalah kerana Batu Bersurat Terengganu turut merupakan bukti asal kedatangan Islam ke Tanah Melayu melalui pedagang Arab dari China :-)

Sumber :

http://ms.wikipedia.org/wiki/Tulisan_Jawi

http://www.angelfire.com/id/sulyh/tul.htm

ISU : Penggunaan Kalimah “Allah”

berikut merupakan artikel yang ditulis oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS berkenaan isu penggunaan nama Allah.

Penggunaan kalimah ”Allah” oleh penganut agama bukan Islam telah menjadi bahan polemik hangat dalam negara kita, dan ianya menjadi semakin panas setelah pihak Mahkamah Tinggi membuat keputusan memberi keizinan kepada pihak gereja Katholik menggunapakai perkataan Allah dalam bahan penerbitan mereka. Realiti kehidupan dalam negara kita ialah, kedudukan masyarakat Kristian adalah dalam lingkungan kehidupan masyarakat umum yang hidup secara bersama, khususnya masyarakat yang hidup di dalamnya umat Islam, mahu tidak mahu ianya akan menyentuh perasaan mereka, kerana perkataan Allah adalah sangat mulia di sisi umat Islam.

Apa yang menghairankan ialah, sebelum ini pengamal ajaran Kristian itu menyebut ‘tuhan’ dengan bahasa mereka masing-masing. Ada pun umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan “Allah” dari kitab suci mereka (Al-Quran). Perkataan “Allah” ini tidak diterjemahkan lagi ke dalam bahasa masing-masing, kerana perkataan Allah tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa lain, dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa Al-Quran.

Persoalannya ialah, adakah ianya boleh dibenarkan begitu sahaja di atas konsep kebebasan beragama? Hakikatnya, kebebasan secara saksama seharusnya mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah sehingga boleh mencetuskan perkara yang boleh merosakkan hubungan sesama manusia. Jangan sampai kita ‘terbabas’ dalam mencari kebebasan. Perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka.

Apa yang perlu difahami ialah, adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain itu adalah mengikut makna perkataan “Allah” yang tepat, dengan maksudnya yang sebenar dari segi bahasa Arab? Atau adakah mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan itu dengan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya, sehingga ianya boleh menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini? Suatu hakikat yang perlu difahami dengan terang dan nyata ialah, bahawa umat Islam di serata dunia yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bercakap berbagai bahasa pula, sedang menggunakan perkataan “Allah” mengikut maksudnya yang sebenar inilah.

Perkataan Allah disebut oleh orang Arab atau pengguna bahasa Arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut Yahudi, Kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala. Al-Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agama itu menyebut dan menulis perkataan Allah.

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya), sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?. (Surah al-Ankabut: 61)

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya? sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah al-Ankabut: 63)

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian – tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah Luqman: 25)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?” Katakanlah lagi: “Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri”. (Surah az-Zumar: 38)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” sudah tentu mereka akan menjawab: “yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”. (Surah az-Zukhruf: 9)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?. (Surah az-Zukhruf: 87)

Ayat-ayat tersebut di atas mendedahkan bahawa orang-orang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan yang bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (adanya Tuhan Pencipta Alam) dan ianya hanya sekadar itu. Namun kepercayaan mereka sebegini tidak menepati hakikat dari makna perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, iaitu supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.

Hari ini kita melihat mukjizat Al-Quran, apabila mereka memaksa diri untuk menggunakan perkataan Allah, pada hal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti God dan Lord; dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka ianya adalah tidak tepat dengan maksudnya.

Umat Islam tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah ini untuk mengikut ajaran dan takrifan bahasa umat Islam, walaupun mereka percaya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, tetapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara. Kalangan penganut Kristian dengan kepercayaan Trinity dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Maha Suci itu. Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.

Mengikut ajaran Islam, perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang Maha Esa (Al-Asma Al-Husna).

Imam Al-Baihaqi menulis dalam kitabnya (Al-Asma wa Sifat).

“Perkataan Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu bagiNya (sama ada dinamakan bapa, anak dan apa sahaja). Allah mengikut bahasa Arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia Sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadaNya. Perkataan Allah itu daripada perkataan aL-Ilah dengan menambah al kepada perkataan asal Ilah yang bermakna Tuhan secara umum. Apabila diletakkan alif dan lam (al) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian dimudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf, maka disebut Allah. Penambahan al dalam bahasa Arab bertujuan makrifah (yang dikenali) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu “berbilang tuhan”.

Al-Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah SAW. Penjelasan inilah yang dinamakan sebagai ‘menyampaikan dakwah’, sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Tanpa melarang mereka dari menyebut perkataan Allah, tetapi kita memberi penjelasan berdasarkan ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat.

Apabila Rasulullah SAW menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab, dan disebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah”. Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”. (Surah Ali Imran: 64)

Perutusan Rasulullah SAW mendedahkah bagaimana golongan ahli kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran tauhid, iaitu mengesakan Allah tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (pendita) dan pemimpin-pemimpin (arbab) yang mencipta undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah. Mereka telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada rasul mereka sendiri, atau mengharamkan apa yang dihalalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama sehingga boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.

Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan agama mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan Allah sekadar mengubah jenama bagi melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sama sekali. Ini adalah kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang diamal oleh umat Islam, adalah dikira menodai kesucian dan kemurnian kalimah Allah di hadapan umat Islam.

Imam Ali K.W, menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah, dengan apa nama sekalipun:

(Kalimahnya benar tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).

Kalimah Allah adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan di tengah masyarakat umat Islam, maka ianya sangat menyentuh sensitiviti umat Islam. Keadaan ini akan menyebabkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO), fahaman politik dan individu, bersatu untuk mengeluarkan suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah Allah. Suasana sebegini boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk yang ada dalam negara kita.

Al-Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah.

Firman Allah yang bermaksud:

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-An’am: 108)
Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebebasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.

Wallahua’alam.

7 Januari 2010


Che Mad : sebenarnya isu penggunaan kalimah Allah oleh agama lain tidak perlulah diperbesarkan kerana ianya telahpun jelas di dalam Al-Quran, iaitu seperti yang dijelaskan oleh ayat - ayat Al-Quran di atas. :-)

sumber :